Hiburan

SAM: Bukan Sebab Saya

  • Written by 
  • Thursday, 01 October 2015 00:00
|  
(0 votes)

Shaheizy Sam @ Inspektor Khai

Kuala Lumpur

SIAPA sangka naskhah terkini lakonannya berjudul Polis Evo berjaya memecahkan kutipan panggung bagi tahun ini dengan mengutip sebanyak RM8 juta selepas 11 hari ditayangkan di 101 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei.

Gembira mendengar perkhabaran tersebut, Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai supercop Inspektor Khai dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu bersyukur kerana baginya kejayaan membanggakan itu membuktikan bahawa masih ada harapan terhadap filem tempatan mendapat tempat di hati para peminat.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, filem tersebut mendapat sentuhan empat penulis skrip iaitu Joel Soh, Kyle Gounting, Anwar Ashraf dan Adib Zaini.

Malah, dia berharap sebuah lagi filem lakonannya yang akan masuk pawagam pada 8 Oktober depan akan mencapai kutipan pecah panggung.

Ujarnya, Polis Evo dan Rembat merupakan dua filem yang sangat istimewa dan mempunyai kelebihan masing-masing.

Berpeluang bertemu dengan aktor itu pada tayangan perdana filem Rembat di ibu negara baru-baru ini, Sam menceritakan perasaan terujanya tentang kedua-dua filem tersebut.

KOSMO!: Tahniah Sam dengan kejayaan filem Polis Evo yang sudah mencecah kutipan sebanyak RM8 juta selepas 11 hari tayangan. Apa perasaan anda?

SHAHEIZY SAM: Alhamdullah. Saya betul-betul tidak menjangka ia akan mendapat kejayaan sedemikian memandangkan senario sambutan filem tempatan agak suram sejak kebelakangan ini. Apapun, saya sangat gembira dengan kejayaan filem tersebut dan berharap ramai lagi turun ke pawagam untuk menyaksikannya.

Polis Evo

Sebagai pelakon utama, apakah rahsia di sebalik kejayaan filem tersebut?

Secara peribadi, saya melihat kejayaan filem tersebut tercetus hasil kerjasama menyeluruh semua orang terutama pihak kru dan produksi. Semua para pelakon yang terlibat pula menunjukkan komitmen dan displin yang baik. Selain itu, keberkesanan promosi yang dijalankan untuk filem ini sangat membantu sehingga ramai yang menyedari kehadiran filem ini di panggung.

Adakah anda merasakan pengaruh dan populariti barisan pelakon seperti anda dan Zizan menyumbang besar kepada penjualan tiket di panggung?

Tidak. Bagi saya filem ini lengkap serba-serbi dan mendapat sambutan ramai hasil daripada kerja keras kru produksi dan kepercayaan penonton yang menyumbang kepada kutipan pecah panggung tersebut. Apa yang saya lakukan adalah memberikan lakonan yang sehabis baik supaya penonton berpuas hati.

Bercakap mengenai filem terkini anda, Rembat yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, adakah anda menjangkakan ia akan mendapat sambutan hangat sama seperti filem Polis Evo?

Saya tidak boleh melakukan ramalan. Apa yang pasti, filem Rembat merupakan sebuah filem yang sangat istimewa di hati saya. Ia merupakan sebuah naskhah yang berbeza dengan filem Polis Evo tetapi saya yakin dengan kualiti yang ada padanya dan berharap ia akan mendapat kejayaan yang sewajarnya.

Bagaimana bekerja dengan pelakon berketurunan Cina (Aniu) dalam filem Rembat?

Dia seorang yang sangat berbakat dan kelakar. Banyak yang telah saya belajar daripadanya. Dia merupakan seorang pelakon yang banyak membuahkan idea-idea bernas ketika di set penggambaran. Saya kagum dengan dia dan berharap akan ada kerjasama dengannya selepas ini dalam cabang lakonan lain pada masa hadapan.

Tidakkah anda berasa penonton akan bosan dengan kekerapan wajah dan lakonan anda di layar perak apabila dua filem lakonan anda menjengah di pawagam secara berterusan?

Bagi saya, itu terpulang kepada penonton. Soal kejayaan atau kutipan tiket bukan bergantung kepada saya. Ia bergantung terhadap kualiti sesebuah karya. Suka untuk saya katakan bahawa saya dikelilingi orang-orang yang hebat ketika berada di set penggambaran. Hal tersebut memberikan saya satu motivasi yang luar biasa untuk terus memberikan yang terbaik.

Selain dua filem ini (Polis Evo dan Rembat), apa yang terbaharu daripada anda?

Insya-Allah filem selepas ini yang bakal menjengah pawagam adalah Interchange arahan Dain Said. Saya memegang watak sebagai Detektif Man.

SAKSIKAN VIDEO DIBAWAH

SUMBER: Artikel  KOSMO 

Written By:

BeatTvMy
Email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Media